Showing posts with label ceritera. Show all posts
Showing posts with label ceritera. Show all posts

Sunday, March 11, 2012

Cerdek: Mana Adil di Bumi Kau?

"Pakcik boleh bagi diskaun sikit?"

Mata gadis berbaju kurung merah jambu itu melayu tatkala melihat wajah bengis pakcik pemandu teksi yang baru sahaja mengenakan cas RM40 untuk perjalanan dari Hentian Putra- Hospital Selayang.

Asal gadis baju merah jambu itu dari kampungnya yang jauh, niatnya mahu melawat adik lelaki yang demam denggi berdarah. Berbekalkan wang cukup-cukup tambang pergi balik, ibu dan ayahnya menghantar dia dengan sorotan wajah yang sayu. Nasiblah makan nanti, pandailah cari. Nasiblah tambang nanti tak cukup, pandailah cari. Nasiblah adiknya seorang harapan keluarga, harapan  jadi doktor pertama, terlantar sakit kuat pula.

Mana nak dicari duit? Hendak menoreh getah, kebun ayahnya baru saja terbakar 3 hari lepas. Hendak minta lagi pada Bunda (ibu saudara), anak Bunda pun nak guna wang untuk majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung gilang gemilang minggu depan. Ralat hatinya melihatkan berapa banyak wang yang dihabiskan untuk satu 'majlis sehari esok orang lupa' itu. Abang sulungnya nikah dahulu, kendurinya hanyalah untuk keluarga terdekat, 20 dulang. Nasiblah orang mampu, kami?

"Tak bolehlah dik. Harga standard macam ni lah.  kalau diskaun lagi, pakcik nak makan apa?" pemandu teksi itu buat wajah tegang. Bukan dia tidak nampak, pewarakan gadis itu saja dah tunjukkan betapa dia 'rusa masuk pekan.' Mudah benar ditipu, mudah benar kalau dia naikkan harga sewenangnya. Lagipun dia gadis muda, apa dia berani melawan?

Wajah gadis itu masam, matanya berkaca. Dia menghulurkan RM40 seperti yang diminta.

"Terima kasih pakcik. Moga Allah merahmati pakcik dan keluarga." Lalu gadis itu melangkah lemah longlai dari teksi. Dalam mendung petang itu, hatinya ikut sama mendung, semendung nasibnya.

*****
Hati seorang ayah itu tersentuh tatkala gadis muda it mengucapkan terima kasih, beserta doa untuk keluarganya. Entahlah gadis itu ikhlas atau perli, hatinya tetap rasa ditikam-tikam.

"Maaflah nak." Bisik hati tuanya. Maaf kerana terpaksa menipu.

Baru semalam dia dapat panggilan dari anak dara jauh di perantauan, mahukan duit nak baik pulih kereta yang rosak. Nak pula, A.S.A.P.

'Tak boleh tangguh-tangguh nanti orang terpaksa ponteng kuliah.'

Hendak dia minta pada jiran tetangga sudah tebal mukanya, orang sampai bertanya siang petang bawa teksi takkan tak mampu sara anak sendiri? Anaknya pula bakal melangsungkan perkahwinan dengan orang jauh minggu hadapan. Katanya gilang gemilang, anaknya mendesak agar majlis di sebelah mereka turut ikut gilang gemilang. Puas dia katakan, wang dia tidak segemilang keluarga bakal mentuanya itu. Kenduri biasa, bolehlah. Mana larat hendak buat bertemakan garden fairy tale entah apa-apa.

Dia mengeluh lagi, mana nak datang rahmat Ilahi, kalau wang pencariannya diselit-selit penipuan. Bila terdesak, dia naikkan tambang sesuka hati. Mana nak datang berkat perkahwinan? Majlis glamour pula yang dikejar.

Hati tuanya pilu, mulutnya mengeluh lagi. Hujan di luar mula membasahi bumi.

**********


"Kau dah bakar kebun orang tua tu?" Taukeh bermisai galak itu menghisap curutnya dalam dalam. Entah apa jenama, janji buatan luar negara.

Habis satu ruang tamu rumah mewahnya itu berbau asap. Harapkan saja sofa import kayu jati tulen, harapkan saja karpet import negara Turki, harapkan saja chandelier mewah tergantung buatan swiss bertatahkan kristal permata, harapkan saja pasu-pasu zaman dinasti entah apa dari China, berbau asap rokok juga. Amah di belakang capai Febreeze, disembur sembur kiri dan kanan.

Sudah lama dia pujuk orang tua kampung seberang tu jual kebun getah tua sekangkang kera tu. Tanah itu bakal bersambung dengan tanahnya. Dia mahu bangunkan, buka resort with pool and pub. Mat saleh suka datang ke hujung dunia, konon nak berlibur di alam sekitar padahal cari air setan juga. Terketawa dia, mengingatkan bukan mat saleh saja suka tonggang air kuning tu, orang melayu hidung penyet pun sama suka. Tapi belakang tabirlah. Siapa nak masuk harian metro suka-suka. "VIP tonggang arak."

Orang suruhan itu tarik muka. jelak dengan bau asap. Tanah sekangkang kera pun nak direbutkan. Dasar orang tak reti puas!

"Sudah taukeh. Bukti wa dah padam, itu budak polis pun wa dah bayar." Taukeh itu ketawa.

Bagilah pampasan, tunjuk muka prihatin, muka simpati, mereka akan senyap. Orang miskin, manalah mampu nak gaji peguam nak lawan.  Akhirnya duduk mengongoi di tikar sejadah, solat hajat minta bantuan Tuhan.

"Mana adil di bumi kau?" Terkekeh-kekeh taukeh itu ketawa lagi, sebelum matanya tiba-tiba terbeliak, tangannya merentap dan menumbuk-numbuk dada. Lalu dia jatuh, bagaikan bacang yang sudah busuk ke tanah. "Gedebuk!!"

Hujan terus turun, menjadi runut belakang sebuah kisah, "mana adil di bumi kau?"


**nota kaki

Ini cerdek versi saya.
Kecewa dengan putaran alam bumi tempat saya menginap ini. Bila boleh kita noktahkan?





Saturday, August 06, 2011

Anehnya hati

Kalaulah perasaan itu ibarat kotoran baju yang boleh disental, sudah lama aku gonyoh kuat-kuat.

Malangnya, tidak.

Sesaat aku terpana sekali terkena panahan asmara (ataupun anak panah syaitan) aku pun tertanya mengapa.
Pertemuan singkat, tidak langsung diselangi bahasa tubuh ataupun apapun yang verbal, dalam masa 3 saat sudah cukup untuk dia meragut pergi separuh hatiku. (separuh lagi aku rebut kembali, supaya aku tidak nanar)

Aku tidak pernah kenal siapa dia bahkan aku tidak pernah mencari. Mataku selalu ku talakan pada lantai, aku jelak melihat karenah manusia yang berjalan atas muka bumi seolah-olah mati itu bukan pasti.

(atau mungkin juga aku takut pandangan gatalku singgah pada lelaki-lelaki berkopiah putih, sekaligus menambahkan bara di hati hendakkan suami soleh, mungkin juga aku meluat melihatkan belangkas darat duduk bercanda bergurau senda, entahlah itu meluat kerana jelak melihat mereka alpa, atau aku jelak kerana aku tak berada dalam kelompok mereka. a.k.a dengki. Na'uzubillah.. Tak mahu aku dengki pada maksiat!)

Sejak itu entah mengapa pertemuan demi pertemuan menghiasi hidupku. Dia yang aku tak pernah endah, selalu saja mampir . Bahkan di jalanan asyik ternampakkan dia. Kalau tersepak batupun, angkat muka pasti ada dia.

Lalu dari cakap-cakap orang aku belajar, bukan calang-calang rupanya orang yang aku angaukan.
Aku mengeluh. Kalau yang meragut hati aku pergi separuh itu  orang biasa (walau tanpa kesedarannya), pasti aku berbesar hati. Aku akan merelakan hati diragut senang hati. Ragutlah! hati ini memang mencari pemilik!

Tapi ini, dia. Saban hari aku mengunyah bibir dan gusi sendiri, mengenangkan betapa haruslah tidak akan bakau tumbuh tepian padi. Tak usahlah bermimpi, lalu aku cubit-cubit tangan dan pipi, hei hati usah bermimpi!

ini 'heart' yang sebenarnya

ini pula 'hati'

Anehnya hati, makin aku elakkan diri, aku gaduh-gaduh dengan diri sendiri bagaikan tubuh melawan bayang, mimpiku tidak pudar, bahkan makin terang pula harapan.
Entah dari mana sirna berani itu datang, aku naik menyampah dan bosan. Bukan mudah nak melawan musuh terbesar diri, HATI.

Cis, kuat betul modus operandi syaitan! (ku kira ia kerja syaitan, tak munasabah pula nak salahkan diri sendiri. heh, denial)


Anehnya hati.
Anehnya.


***
mungkin blurb. mungkin. siapa tahu?

Friday, June 03, 2011

Abah.

"Bas pi Hentian Duta, mai dak lagi?"  Penjaga kaunter bas Maraliner itu berkerut dahi, menyemak-nyemak kertas yang tergantung di dinding.

"Dak lagi dik, Sat gi lam setengah jam. Tunggu kat Platform 6 na." balasnya. Diambil tiketku, dicatatkan nombor bas.

"Terima kasih kak." Lalu aku menyusun langkah, mengheret bagasi beratku, ke tempat duduk.

Abah.

"Kakak nak naik tang mana? Mai tiket, abah pi tengok." Aku hulurkan tiket. Sekembalinya abah, dia tarik bagasiku. Bawaku ke platform enam. Saat bas sampai, diusungnya ke perut bas. Kemudian kami bersalaman, bertukar ciuman pipi.

"Duit ada dah?"
"Nak mai mana, kakak tak kerja lagi." Sengihku. Suka berkias-kias. Lalu abah keluarkan not not biru, selitkan pada tanganku.

"Belajaq elok-elok. Jangan dok baca komik sangat." Aku ketawa kecil. Mengangguk kepala, dalam hati? Masakan aku mahu tinggalkan kegemaranku.

"Jangan lupa semayang, baca quran hari-hari. Jangan dok keluar tak tahwan hala."
"Pi dating buleh?" Kataku sambil ketawa kecil. Abah tersenyum, sudah faham denganku yang suka benar menggiat. Lalu kakiku melangkah ke atas bas. Duduk dan pemandu mengalunkan bacaan doa. Sebak seketika. Tanganku melambai-lambai pada abah.

Selamat tinggal bumi kedah! Selamat tinggal langit yang cerah! Selamat tinggal sawah-sawah!

"Titt!"
"Kakak dok mana dah?" Ku jenguk sms. Dari abah.Lalu ku balas.
"Di Sungai Dua." Dan sms itu berulang, aku jawab lagi.
"Di Bukit Gantang. Driver berhenti semayang" Abah pesan, jaga barang elok-elok bila turun.
"Di Rawang." Abah pesan, jangan bawak laju sangat. Aku ketawa.

"Abah pesanlah drebar. Apa habaq kat kakak pulak." Tersenyum senyum aku sorang. Macam berbalas sms dengan pakwe saja.

Di Hentian Duta, abah telefon lagi.
"Dah sampai. ni abang dah ambik. Jangan risau. Ya, ya insyaAllah.. Thanks abah. Kirim salam umi."

"Adik."

"Adik. Bas dah sampai." Kakak berbaju merah disebelahku, mengejutkan aku dari lamunan.

Lalu aku angkut bagasi, masuk ke perut bas. Aku naik, cari tempat duduk. Angkat tangan, aminkan doa. Bas jalan perlahan. Lalu aku renung tingkap, kosong, sunyi, pilu.
Langit masih biru tapi di hati, mendung. Hujan renyai membasahi perasaan, kian lebat. Tertumpah, banjir pipiku.

ihsan google
Kurangnya satu.

Satu.

Abah sudah tiada disitu.




**********
2 tahun lalu..

"Assalamualaikum kakak.." kedengaran suara Along, tenang memberi salam. Aku tengah asyik menyusun nota-nota ketika itu.
"Waalaikumussalam Along.. Apa khabar?"
"Sihat, alhamdulillah.. Akak? Dah habis exam?" Kedengaran getar, di nada suara Along.
"Sudah, hari ni." Mahu aku bertanya, kenapa Along telefon?

Along. Abang bukanlah jenis yang call adiknya sekadar untuk bertanya khabar. Kalau dia telefon, aku tahu, ada isi penting yang hendak dia sampaikan.
Sehari dua sudah aku rasa sunyi, berdebar-debar dada. Malah sudah seminggu berturut, aku dikejutkan mimpi-mimpi gigiku gugur.

Aku biarkan talian itu sunyi. Biar Along habiskan niatnya.

"Kakak, abah dah tak ada. Dia meninggal dalam tidur selepas bangun Subuh tadi..."


Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.


*rekaan semata-mata. tak terkaitan hidup atau yang mati.



Thursday, June 24, 2010

Definisi Cinta

Siti mengintai dari celah langsir putih yang menghiasi bilik Kak Yan. Kak Yan tenang sambil dirias mak andam. Sesekali dia menjawab pertanyaan rakan yang bertandang.
Jatuh rasa sayu, mengingatkan hari ini Kak Yan bakal bergelar isteri orang.. Fikirannya melayang, mengingatkan setahun lalu, ketika Kak Yan bertunang..

***********

Kak Yan tersenyum nipis tatkala dirinya di usik Akak Salmah, ibu muda anak dua yang tinggal sebelah rumah.. Tak sudah-sudah Akak Salmah mengusik betapa beruntungnya diri Kak Yan dipinang sesama doktor.

"Sama kerja, sesuai sangatlah. Siapa lagi yang faham doktor kalau bukan doktor?" Kak Yan senyum nipis.

"Alhamdulillah... Mudah-mudahan.... Cik Mira jangan solek tebal sangat.. Nanti bertepung muka saya." Kak Yan tenang mengingatkan Cik Mira, mak andam untuk hari tu. Foundation yang ditepek Cik Mira sikit lagi nak tukarkan Kak Yan jadi Hantu Tepung.

Siti menarik muka, mahu menangis melihatkan Kak Yan. Kak Yan sesatunya kakak yang dia ada, dan sayang dia pada Kak Yan bukan sedikit.

Kak Yan perasan, lalu digamitnya Siti.

"Kenapa monyok masam Siti hari ni?" Siti mendekat, melabuhkan dirinya di lantai hujung katil Kak Yan.

Dia tidak puas hati. Teragak-agak mahu dia luahkan. Matanya bulat melihat Cik Mira dengan Akak Salmah. Serba salah dia.

"Cakaplah.. Cik Mira ngan Akak Salmah ja pun.."
 Siti diam lama. Kak Yan memang selalu mengajar dia supaya straight to the point. Jangan simpan-simpan buat pekasam. Jadi besarnya, dia jadi seorang yang outspoken. . Cuma hari ni.. dia tak tahu, patutkah diluahkan?

"Kak Yan happy ke? Bertunang hari ni?" Sambil tunduk, dia meluahkan. Dia melihat Akak Salmah dan Cik Mira yang tercengang.
Kak Yan nampak kaget, dan perlahan-lahan dia ketawa.

"Lah, itu ke halnya? Nampak Kak Yan tak happy?" Kak Yan senyum lagi. Keningnya diangkat sebelah, ala-ala The Rock. Manis senyum Kak Yan, tambah luka di hati Siti.

"Mana tau Kak Yan sembunyi? Simpan telan dalam hati? Kak Yan suka ka ni? Cakaplah. Kesian Siti dengan Kak Yan.."
Kak Yan masih tenang.

"Kenapa Siti rasa Kak Yan tak happy? Kak Yan dah blurr ni." Kak Yan memandang Siti dari dalam cermin. Mata Siti berkaca.

"Yalah. Tetiba Kak Yan nak bertunang. Mana Kak Yan ada boyfriend?"

"Mana kamu tahu Kak Yan tak ada?" Akak Salmah menyampuk. Dia ketawa kecil. 'Hai semua orang ceria hari ni. Aku ja tak.'

"Siti tahulah. Kak Yan kan kakak Siti. Apa benda Kak Yan buat, semua Siti tahu. Lepas mak dengan abah bagitau nak carikan Kak Yan laki kalau Kak Yan tak ada calon, tak sampai dua minggu Kak Yan bagitau ada orang nak merisik. Sebelum tu Kak Yan tak cakap apa pun? Siti tau Kak Yan tak suka hampakan mak dengan abah, Siti takut Kak Yan tangkap muat."

Kak Yan ketawa. 'Macam ni rupanya adik aku sorang fikir. Padanlah muka masam macam cuka.'

"Betul Yan?" Terkejut Akak Salmah. 'Masakan begini. Alahai kalau betul kata Siti, kesiannya budak ni...'

"Tak adalah.. Apa Siti ingat Kak Yan tak laku?" Kak Yan ketawa lagi. Siti merenung lama, 'Kak Yan ni berlakon suka ke apa?'

"Kak Yan jugak bagitau, Kak Yan tak suka bercinta. Berkawan dengan lelaki sekadar biasa. Ikhtilat kena jaga, Hubungan dengan Allah kena jaga. Kak Yan tak suka cinta Kak Yan dipesongkan belum pada masanya. Kak Yan yang cakap tu. Macam mana Kak Yan boleh ada boyfriend kalau macam tu? Kak Yan cakap tak serupa bikin? Siti tahu, walau Kak Yan macam tu, Kak Yan tak jugak suka dipasang-pasangkan macam abah nak buat hari tu. Sebab tu Kak Yan terus cari. Tak ke tangkap muat macam tu? Macam mana kalau Kak Yan salah pilih?" Siti risau. Nikah kahwin bukan untuk sehari dua. Dia risau Kak Yan ambil cara mudah.

"Along dengan Kak Sham kahwin suka sama suka, Angah tunang dengan makwe dia. Akak dengan siapa? Tup tup Kak Yan bagitau nak bertunang. Padahal sebelum tu Kak Yan tak pernah sebut pasal boyfriend? Kak Yan, macam mana nak happy kalau tak ada cinta?" Siti tunduk, agak malu jugak dia mengutarakan hal cintan cintun ni macam dia dah besar sangat.

"Hurm.. Kak Yan mengaku, kalut la jugak masa mak dengan abah cakap nak carikan untuk Kak Yan. Kak Yan terbayang jugak, macam mana kalau yang mak dengan abah carikan, tak serasi dengan Kak Yan? Ya lah, tak kenal.. Boleh ke dia terima  baik buruk Kak Yan? Pasal kerja Kak Yan tak kisah, Kak Yan rasa ok. Lelaki zaman sekarang bukan macam zaman dulu, nak biar bini duduk depan mata dia aja."

"Tipulah, kalau cakap Kak Yan tak cuak.." Siti angkat kepala. Mendengar.

" Lepas mak dengan abah cakap macam tu, Kak Yan buat solat hajat. Kak Yan minta agar hati-hati sesiapa yang berkenan dengan Kak Yan, terbukak untuk bertanya. Dalam sepanjang Kak Yan study di universiti, Kak Yan ada jumpa beberapa orang, Kak Yan admire agamanya, cara dia handle majlis-majlis besar, cara dia handle majlis ilmu, cara dia bagi tazkirah. Kak Yan minta pada Allah agar dipermudahkan, kalaulah ada minat mereka pada Kak Yan. Kalau tak pun, orang-orang yang Kak Yan dah kenal, Kak Yan faham dan selesa, Kak yan minta Allah bukakan hati mereka untuk Kak Yan, Buka mulut mereka untuk bertanya, buka hati mereka untuk rasa cinta."

"Allah tu Adil kan? Walaupun Kak Yan jaga diri dari perhubungan yang bagi Kak Yan melalaikan, Dia mudahkan jodoh Kak Yan., Kak Yan tak cakap semua orang couple tu lalai ok? Sendirilah, Kak Yan tak ada labeling orang. Bagi Kak Yan, Kak Yan nak bercinta dengan Allah dulu. Baru dengan manusia. Tapi Kak Yan manusia, ada perasaan, ada nafsu, sikit-sikit Kak Yan adalah suka jugak. Paling banyak Kak Yan doa, Hai bagilah dalam diri suami aku kelak ada sifat-sifat muslimin ni." Kak Yan tersenyum.


"Kuasa Allah jugak, lepas dua tiga hari mak abah tanya tu, Akak Naurah, senior Kak Yan telefon. Katanya, nak datang rumah, ada hajat. Kak Yan pelik, apalah hajat yang penting sangat, tak boleh Kak Naurah nak cakap dalam telefon. Alhamdulillah, Kak Naurah bawa hajat orang, nak sunting Akak. AllahuAkbar! Tak sampai seminggu pun, Allah dengar doa Kak Yan. Alhamdulillah lagi, orang yang nak pinang Kak Yan, insyaAllah baik akhlaknya. Kak Yan kenal dia, satu kursus dengan akak, sesekali pernah bekerja dengan akak urus majlis fakulti." Kak Yan senyum lagi. Tetap tenang.

"Tapi Kak Yan tak cintakan dia kan?" Siti mencelah.

"Cinta tu perasaan Siti. Boleh dipupuk. Kak Yan tak ada perasaan lebih-lebih pun sepanjang Kak Yan kenal dia. Tapi Siti rasa sekarang ada tak?" Siti angkat bahu.

"Saat dia hulurkan niat, Kak Yan dah jatuh hati. Jatuh hati pada bakal suami sendiri, ok kan? Bukan sennag nak jumpa seseorang yang tak pernah kenal hati budi kita, mintak kita jadi surinya. Tau apa yang buatkan dia berani gamble macam tu? Keyakinannya pada Allah. Lelaki yang mencintai Allah, Kak Yan tak kan segan silu nak cinta dia balik."

"Siti, pada Kak Yan, cinta ni tak boleh  diukur dengan masa. Sesaat boleh buat orang jatuh cinta, sepuluh tahun tak tentu boleh buatkan orang lupa dengan cinta. Sessat jugak boleh buatkan orang lupa Allah dengan cinta, dan dengan cinta jugaklah ramai yang balik ke jalan-Nya. Kak Yan tak lah kata 100% perkahwinan Kak Yan ni akan berjaya, tapi Kak Yan dah cuba jaga diri Kak Yan sehabis boleh. Kak Yan harap Allah pulak tolong akak. Kita merancang, Allah jugak yang tentukan. Kita tolong diri kita, jaga agama Allah, Allah tolong kita balik, insyaAllah.. Kak Yan tak tahu, dia suka Kak Yan banyak mana? Atau mana tahu dia pun main tangkap muat ja? Mana la tau kan? Tapi dari dulu Kak Yan dah sediakan hati untuk insan bergelar suami, so apa salahnya nanti Kak Yan pikat dia habis-habisan? Kasi dia tangkap cintan dengan Kak Yan. Ok?" Malu-malu Kak Yan ketawa, sambil matanya memandang Kak Salmah, Cik Mira dan Siti. Kak Salmah tersenyum. Cik Mira pun tersenyum. Perlahan Kak Salmah menepuk bahunya.

"Beruntung si Saiful Rahman tu, dapat akak kamu ni. Cinta dia awal-awal dibagi pada  insan bergelar suami, sebab tu kamu tengok muka akak kamu ni berseri-seri hari ni. Tandanya dia gembira. Sudahlah, karang sampai pulak rombongan, akak kamu tak siap-siap."

*************

Siti tarik nafas panjang. Dikerling raut wajah Kak Yan yang berseri. Nampak bahagianya. Sekejap lagi Kak Yan akan bergerak ke masjid untuk dinikahkan.

Siti kesat matanya yang kabur, moga dipermudahkan Allah akan rumahtangga kakakku seorang ini.. Amin..

P/s- rekaan semata-mata. sempena musim kahwin ni. :)

Friday, April 30, 2010

Ini aku, diriku

Dah seminggu berlalu.
Dah seminggu dia 'back to school'.
Matanya melihat sekilas ke papan hitam.
Cikgu Rogayah sibuk menerangkan macam mana formula diterbitkan.
Dari satu equation, tambah satu equation, jadi equation yang lain.

Blergh. Mawaddah menyumpah dalam hati.
Kelas matematik tambahan, kelas paling dibenci.
Segala kerja yang diberi, tak pernah disiapkan.
Pernah cikgu Rogayah bertanya kenapa dia bagaikan 'hanyut dalam kelas.
Dia hanya diam membisu.
Dia menarik pensel mekanikal dari dalam pencil case yang dijahit sendiri.
Kain cotton berbunga kecil ala-ala English style, di matchkan dengan list maroon, senada dengan warna bunga.
Kemudian di sulam nama sendiri, MAWADDAH.

Lalu mata pensilnya dilarikan atas sketch book.
Melakarkan figure seorang wanita, persis barbie.
Kalaulah betul orang macam ni, sumpah patah pinggang. Dia senyum sendiri.
Dia melakarkan baju. Labuh ala gaun. Tidak sarat pada pattern, tapi didetailkan pada hiasan baju.
Malas. Conteng je lah. Ouch dagu dia comot!
Dilukis lace di hujung tangan dan kaki. Hurm ok ke tak eh? Ke sarat?
Dikerling mata ke Hannan di sebelah.



"Make it double." Bisik Hannan, sambil mengenyit mata.

Mawaddah lihat mata Hannan, tak berkelip. Minah ni terer matematik. Cita-cita pun nak join course actuary science. Padanlah dia rancak bila masuk bab math. Aku pun, rancak jugak! Rancak menda lain.
Keluar dari wad hari tu, doktor mencadangkan dia bercuti.
Siap suruh pergi bercuti. Mama cadangkan suruh balik rumah tok di Kedah.
Ok fine, tak payah cuti, baik masuk sekolah balik.

Dia rimas di kampung.
Tok akan sibuk membebel pasal betapa tak cukup kainnya dia.

Duduk rumah pakai sphagetti strap, seluar tight kira ok la kan? Bukan ada orang lain? Tok dengan Wan ja. Kecoh!
Sibuk suruh pakai tshirt dengan track. Tahu tak panas? Rumah tok mana ada aircond.
Bab kedua, dia rimas disuruh tolong masak. Cerewat bukan main. Nak masam, masin, manis. biar sama rata.
Manalah aku tau. Bukan ada indicator or scale nak rate tahap keseimbangan tiga rasa. Fussy.
Bab ketiga, kena melawat rumah sedara mara. Kalau tak melawat pun, ada ja yang bertandang.
Lepas tu, dialah sibuk membancuh itu ini di dapur.

Mawaddah mengerling jam tangannya. Lagi 15 minit nak habis. Wala!

"Mawaddah!" Mawaddah tersentak. Terkejut melihat mata Cikgu Rogayah melihat terus kepadanya.
Seisi kelas senyap. Mata tertumpu padanya.
Mawaddah telan air liur. Mampos? Apsal ni?
Laju Hannan disebelah menyiku lengannya.
Lalu kepalanya diangguk laju.

"Masa kamu tak ada dulu, saya ada edarkan soalan untuk kerja khusus kamu. Kamu nanti jumpa saya kat bilik ye? Saya nak brief sendiri dekat kamu."

"OK cikgu." Mukanya tertunduk. Malu jadi perhatian kelas.

Lepas ja dia masuk hospital tempoh hari, bukan dia tak tahu macam-macam khabar angin tersebar pasal dirinya.
Ada yang kata dia nak bunuh diri, kecewa bercinta. hurm macam betul ja? Tapi aku nak bunuh diri ke haritu?
Ada yang buat spekulasi yang dia accident, ada cancer, nak pindah sekolah, masalah keluarga.

Semuanya serba macam. Tapi tak ada pula yang nak tanya aku sendiri?

Even Hannan pun tak . Entahlah, sama ada tak care, or takut, or segan.

But i do prefer they dont ask. So i dont have to lie.

Annoying nak bagitau something pasal diri dekat orang yang kita tak tahu pun,
sama ada dia nak tahu sebab dia nak tahu, or she is just busy body.
Then nak canang cerita kita sana sini macam radio buruk.
So to whom i open my heart with? Entah?
To person who show care maybe?
Cikgu Rogayah, for instance, dah banyak kali cuba buat sesi kaunseling tak rasmi.
Aku tak boleh nak cerita even a bit pun. Hate it. Not her. Hurm..
So why i opened up easily to that Ahnaf guy?
How do i know that he cares?
Because he asked? Sebab mulut dia celupar sangat? Tak cover baik macam orang lain?

Mawadah merenung ke papan hitam.
Bukan pada tulisan formula Cikgu Rogayah, tapi lebih dalam, lebih menerawang.


Sambungan dari Siapa Yang Lebih Tahu



Sunday, April 18, 2010

Siapa Yang Lebih tahu?


Mawaddah menghela nafasnya. Bosan.
Matanya merenung timbunan buku-buku di hadapannya.
Dia menghempaskan badannya ke sofa sudut bacaan wad kanak-kanak itu.
Matanya mencari-cari 'mangsa' seterusnya. Rapunzel, Cinderella, Bawang Merah Bawang Putih, Raja Midas, Batu Belah Batu Bertangkup.. Hai dah baca. Apa lagi yang belum?
Dari tadi dia asyik 'ulangkaji' buku-buku cerita di situ. nak pulang ke wad, dia bosan. Tak ada yang nak dibawak bersembang, tak ada yang nak dibaca.
Matanya berhenti pada buku komik Asuh, Ana Solehah. Lalu lekas matanya dilarikan, tertancap pada buku Reader's Digest. Lalu diambilnya.

Bolehlah.

Mawaddah bangun, kakinya melangkah balik ke katilnya, di samping buku Reader's Digest edisi Laugh!! di pegang kemas. Bukan style dia nak membaca majalah ilmiah sebegitu.
Tapi dalam keaadaan ni dia tak boleh memilih.

Better than nothing.

Sesampainya di katil, matanya menangkap coklat Van Houten dia atas laci. Keningnya automatik terangkat sebelah. Aik??

Dia mencapai sekeping kad kecil di bawah chocolate bar itu. Kad comel sebesar kotak mancis itu dibuka.


Saya, terus teranglah... tak faham. :)
I wont, i never been inside your shoes.
Tapi DIA faham kan?
"...But it is possible that you dislike a thing which is good for you,
and that you love a thing which is bad for you.
But Allah knows, and you know not."
AlBaqarah 216

-Ahnaf-

Mawaddah terpaku. Lalu dia melangkah naik ke katil, membuka bungkusan coklat.
Dan dia terus tenggelam dalam angannya..

* Ini adalah sambungan dari Pilihan Kamu Untuk Kamu

Wednesday, March 31, 2010

Pilihan Kamu Untuk Kamu

"Kenapa nak bunuh diri?" Ahnaf menyuarakan soalan itu perlahan, lambat-lambat.

Mawaddah di sebelah tersedak.

Ai mamat ni. Tadi elok-elok bercakap dengan aku. Siap belanja makan aiskrim lagi. Sekarang nak buat aku panas balik?

"Saya curious. Terasa nak tahu. Please, share." Ahnaf sambung laju bila tengok mata Mawaddah macam nak terkeluar dari soket.
Tangannnya melambung-lambung stethoscope berwarna biru muda.

Suasana hospital ketika itu agak tenang. Tidak sekalut sewaktu gelombang H1N1 dulu.
Manusia berjalan lalu lalang masing-masing dengan dunia sendiri. Diperhatikan Ahnaf satu satu dari celahan gantungan orkid hutan yang merah menyala.

Ada yang gembira, mungkin kerana si isteri baru melahirkan bayi comel yang bakal menyambung amal dan bakal menjadi saham akhirat si bapa.
Ada yang muka masam mencuka, seperti anak yang baru bertukar giliran dengan kakaknya menjaga ibu nyanyuk yang sakit dalam terpaksa.
Ada yang berjalan tenang, dalam penuh redha dan tawakkal atas kehendaknya. Mulut terkumat kamit melagukan zikir mungkin? Mungkin jugak lagu hiphop Ruffedge pun buleh jugak.
(Ahnaf senyum sendiri)
Ada yang menahan sebak, menggigit bibir sendiri, mungkin baru lepas di sahkan menghidap kanser?
Ada ibu yang menolak kerusi roda anak yang berusia belasan tahun yang terkulai, kejap dia ketawa, kejap tangannya menarik-narik buku di ribaan. Cuba membaca, dan ketawa.
Syndrome Down mungkin?


Di atas kerusi, dalam taman kecil bunga orkid itu, Mawaddah sambung menyudu aiskrim vanilla with mint. Muka selamba. Tak ada tanda nak menjawab.

Ahnaf ketawa, lalu dia bangun, mengisyaratkan dia mahu kembali dengan tugasnya.

"I never said that was a suicide attempt.." Mawaddah tunduk memandang aiskrimnya. Lalu sudu berisi vanilla mint dibawa ke mulut.
Ahnaf menoleh, dan kembali melabuhkan punggung di sebelah Mawaddah. Matanya memandang tepat, meminta sambungan.

"Did doctor actually assumed that? Well, i think memang doktor agak macam tu, saya mesti bukan yang pertama, admitted with overdose paracetamol. Tambah pulak umur muda belia macam ni, bukannya nenek tua nyanyuk Alzheimer ke apa kan nak telan ubat banyak-banyak?"

"I was trying to get rid of the pain, not myself. But if killing the pain will as well, (diam seketika) takes me with it, its fine. " Mawaddah menarik nafas.
"Im contented. Puas hati." Ahnaf nampak ada air mata yang mengalir selepas ucapan itu. Namun dia buat tak nampak.

"Macam bodohkan. Im sure, whoever yang dengar ni, refleks akan cepat ja cakap, bodoh punya pompuan. Sebab lelaki.. (diam lagi). oh awak tak tahu pun cerita eh, saya dah terbocorkan pada awak."
Dan dia ketawa pula. Ahnaf mengerut dahi, tapi dia terus mendengar.

" Yes, its him. HIM. Memang pun, disebabkan seorang lelaki. Tragik kan? (ketawa lagi) Orang akan laju aja label saya bodoh. Kan?
Tapi. Dorang tahu ke? Apa dalam hati saya? Ada yang baik sikit, akan datang, tanya dan dengar, dan cakap, yang dia faham, sabarlah.. Faham, betul faham? I doubt that.
(Mawaddah geleng kepala)
Lepas tu geleng kepala, pergi cerita pasal saya kiri kanan, konon simpati. Konon nak membantu. Akhirnya saya jadi buah mulut orang aja. Bahan simpati orang. A joke, a toy.
Saya rasa dorang tak pernah cuba nak be in my shoes at all. All they do is, pretend to care, then make a fuss about it.
Oh itukah caring? I wonder?
" dan Mawaddah tunduk pula. Mengesat air mata yang bertakung di hujung mata.

" Dia ada dengan saya setiap masa. Well, walau bukanlah face to face macam ni. Practically macam tu. Kalau saya perlu inspirasi, he always there.
Kalau saya sedih, i have shoulders to cry on, kalau saya gembira, hes there to share the bits. In fact, ada dia pun saya dah gembira. I need nothing else. I just need him.
Dorang faham ke, yang saya perlukan dia? I dont need sympathies, empathy whatever. I need him. " Mawaddah menahan sebak. Dia menoleh pada Ahnaf, Melihat tepat pada mata.

"Awak faham? Awak faham perasaan saya, situasi saya? " Ahnaf diam lama. Matanya menghala ke bawah. Melihat lumut-lumut yang menghiasi lantai. Tangannya membelek-belek stethoscope.

" Hurm....." Mawaddah menanti sabar.

"Dah masuk Zohor. Jomlah gi solat. Saya mintak diri dulu. Assalamualaikum.
" Lekas Ahnaf bangun dan tak menoleh sedikitpun. Mawaddah senyum tawar.

Typical.
I bet he wont.

____________________________________________________________________________________________________________

*sambungan Bayang Kematian



“... Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.
Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
- Surah Ath-Thalaq (65): 2-3

Sunday, March 28, 2010

Bayang Kematian

Bosan. Mawaddah memandang siling yang putih.

Bosan. Dia melihat ke kiri. Seorang aci sedang lena tidur di samping anaknya yang berbalut tangan. Mukanya calar, lebam. Accident kot.

Dia toleh kanan. Seorang wanita dalam lingkungan tiga puluhan, sedang asyik bermain laptop. Hai kalaulah tu aku punya..

Dia tarik nafas panjang.


"Kita tunggu dulu sampai petang, nak tengok awak punya tekanan darah, dan paras gula, kalau dah okey, kita lepas baliklah.
Saya dah inform your parents, they will come this evening, ok. Rest well ok Mawaddah, jangan buat hal melulu lagi lepas ni.
"
Doktor botak berkaca mata tu berkata sambil tersenyum. Dr Rozaimi nama dia.

Bila Dr Rozaimi nak suruh dia berjumpa dengan kaunselor hospital, cepat-cepat dia tolak. Katanya dia akan jumpa kaunselor sekolah dulu.
Ces, tak ada pasal nak contact balik cikgu lama. Lantaklah. Asal tak kena jumpa dengan entah sapa-sapa yang tetiba nak masuk campur hal hidup orang.
Konan care sangat kan? Takat nak kata berbincang dengan ibu bapa, banyakkan masa dengan kawan rapat, ingat Allah banyak-banyak.. Eheh sorilah. Tak payah jumpa kaunselor.
Bukan aku pernah jumpa kaunselor sekolah, pernah waktu sekolah dulu aku ceritakan masalah aku kera sumbang. Tak boleh nak dibawak berkawan. Orang nampak ja macam nampak harimau. Belum sempat bagi salam dah lari. Sebab tu aku sayang sangat dengan Afzal.

Afzal....

Air mata Mawaddah mengalir perlahan. Ish apa pasal sayu-sayu lagi ni. Nanti kena sumbat wad gila baru tau.

Cepat dia kesat airmata sebelum memana orang nampak.
Tadi ibu mesej, katanya akan sampai petang ni lepas ambil adik balik kelas petang. Ibu minta maaf sebab tak dapat temankan dia di hospital.
Pelik, ibu memang tak tahu marah. Abah lagilah. Tak berani nak tolak permintaan dia pun. Sampaikan dia masuk hospital sebab cubaan meng-alam barzakh-kan diri pun tak ada siapa yang marah.

Dia bangun dari katil. Good, that IV removed, now im chained no more.

Kakinya melangkah melulu. keluar dari wad. Berjalan melalui koridor yang di kelilingi pokok-pokok bunga. Terasa sejuk sikit mata.Asyik tengok putih hijau (warna langsir dan dinding) saja.

Di wad lelaki, dia terlihat sekumpulan orang.
Seorang perempuan berbaju kurung putih sedang duduk di kerusi rehat, nampak tenang. Di tangannya, surah Yaasin. Bibirnya melagukan ayat Allah , nampak tersekat-sekat.
Mata perempuan it bengkak, merah, tapi tak berair mata lagi.
Di sisinya seorang remaja perempuan yang lebih muda, masam mukanya, sibuk menyapu air mata yang turun tak berhenti.
Seorang lelaki yang lebih tua, bersongkok, menepuk-nepuk bahu seorang pemuda yang berkopiah putih. Pemuda itu tersedu-sedu.

Lalu digagahkan kaki melangkah lebih dekat. Dia mengintai dari jauh.
Seorang lelaki tua di atas katil, sedang tercungap-cungap bernafas. Matanya sekejap-sekejap tutup, sekejap-sekejap terbukak luas.
Dadanya turun naik, seolah-olah tak cukup udara di bumi untuk dia hirup.
Di tepinya, seorang wanita tua, isterinya mungkin, tunduk membisikkan sesuatu di telinga lelaki itu.
Di sebelah lagi satu, seorang wanita muda bertudung labuh, menyapukan bibir lelaki tua itu dengan sesuatu. Ada seorang lagi lelaki 30-an, duduk membaca Yaasin, tenang.

Mawaddah kaku. Dalam hatinya kosong, bertanda tanya. Pakcik tu kenapa. Kenapa semua orang tengok diam-diam saja. Tak ada yang nak panggil doktorkah?

Dia melihat lagi, ada seorang doktor dan seorang wanita berbaju kurung, bertag tanda dia pekerja hospital, duduk diam seolah-olah menunggu.

Are they just gonna stand and stare? That pakcik are dying!
Try to resuscitate him or what!

"Itu sakarat. They are waiting for Izrael to fetch him. Makcik tu, tengah ajar pakcik tu mengucap.
Yang tudung labuh tu, anak dia kot, tengah sapukan air zamzam kat bibir dia, mudahan mudah nak mengucap."

Suara yang entah dari mana tu membuatkan bulu roma Mawaddah naik 90 darjah. Segera dia menoleh belakang.

Lelaki dari wad tadi, whats his name, Asyraf? Akram?

"Im Ahnaf. Jumpa pagi tadi. ingat?"
Mawaddah angguk laju. Dia menoleh ke depan semula. Pakcik tadi... Dadanya dah tak berombak. Dah kaku. Tapi bila dia .....?


"Innalillah.... (diam seketika, mulut Ahnaf terkumat-kamit. Tangannya si angkat seolah berdoa. Kemudian disapukan di wajah)
Setiap yang hidup pasti akan mati.Tak cepat sesaat dan tidak pula terlambat. (dia diam lagi)
Pakcik tu, dah terminal stage, kanser paru-paru.Dah bedridden. Alhamdulillah semalam macam pesta, semua suku sakat dia turun tengok dia. "

Mawaddah berpaling, Matanya berkaca, merenung muka Ahnaf.

" Sakaratul Maut tu, sakit yang palinggg sakit sekali. Kedua, sakit nak beranak, tiga, sakit gigi." Ahnaf senyum, tayang gigi. Nampak Mawaddah masih mendengar, masih berminat, lalu dia sambung.

"Waktu rasulullah nak wafat, dia merasakan sakitnya sakaratulmaut ni, sangat-sangat sakit. Dia mintak agar dia nak tanggung kesakitan sakaratulmaut seluruh umatnya. Betapa sakitnya, sampaikan dia tak sanggup Allah timpakan dekat umatnya sikitpun. tahukan, Rasulullah sayang sangat kat kita-kita ni. Solat yang 50 dia tawar sampai 5, dia mintak kat Allah, suruh postpone azab umat dia ni,jangan dibagi di dunia.
Bagi di akhirat ja Umat lain, Allah bantai terbalikkan bumi, kasi banjir taufan suma. Lenyap macam tu ja satu satu kaum. . Agak-agak kita sayang dia sampai tahap mana?"

Mawaddah tunduk. Tak tahu!?

Ahnaf tarik nafas.

"Nasiblah, kita rasa sakaratul maut ni sekali ja kan seumur hidup? kalau berkali-kali macam sakit kepala macam mana? Sakit macam nak mati?" Lalu dia ketawa.
Mawaddah membulatkan mata.

Tak lawak langsung!

_______________________________________________________________________________________________

*sambungan Bukan Nirwana





Tuesday, March 23, 2010

Bukan Nirwana

"Macamlah telan paracetamol banyak-banyak boleh mati. Nak bunuh diri pun buatlah research dulu. Kan dah fail!"

Mawaddah tersentak. Kepalanya terasa berat, sakit. Payah dia cuba membuka matanya.

Asing rasanya.

Di mana ni?

Seorang lelaki berbaju kot putih berdiri di hujung kakinya. Tangan lelaki itu menyelak- nyelak sesuatu sambil mulutnya menggumam sorang.

"Lapan belas, mak aii muda lagi. Hypoglycemic. No wonderla.. kurus keding. Acetaminophen overdose. Berapa banyak minah ni telan?" Lelaki itu, masih tak sedar Mawaddah tengah merenungnya dalam.

Apa jantan ni merepek ni? Arghh sakitnya kepala aku.
Ditariknya tangannya ke tepi.

Shit! Apa ni?

Matanya menyorot tiub IV drip di sebelah. Dekat hospital ke aku ni?

"Assalamualaikum Cik Mawaddah. Saya Ahnaf, pelajar perubatan Tahun 4. Saya tengah tolong doktor buat ward round. Nanti dr datang k."

Mawaddah tutup mata. Malas.

"Cik ni keracunan paracetamol. Gula dalam darah pun rendah. Perasan tak cik kat hospital ni, bukan kat nirwana ka, syurga ka?" sambung lelaki itu.

"Bullshit lah. Leave me alone boleh?" lambat-lambat Mawaddah berkata, tanda protes. Tadi mengutuk aku, skang nak pretend polite?

"Jap lagi ye Cik, sabar kejap. Ada particular detail yang saya kena catat. Tapi cik tahukan ini hospital? Hos-pi-tal?" urgh this guy, is he joking or what!

"Im not that dumb. Celik mata pun dah tau ni hospital." Matanya dibuka. Cuba melihat gerangan wajah yang 'super noisy' and 'nosy'.

Lelaki tu mengangkat bahu. Mulutnya masih mengukir senyum.

"Yeah, not that dumb. Of course.
Not that dumb to kill yourself with dozens of paracetamol knowing that it rarely kills even taken overdosed.
Good for you, no organ failure, Allah tak rasa nak tarik lagi nikmat Dia kat cik. "
Lelaki itu senyum dan berlalu.

Mawaddah terasa telinganya panas.

Go to hell!

*sambungan Surat Dari Neraka

Monday, March 22, 2010

Surat dari Neraka

Mawaddah meneliti surat yang baru diterimanya, perlahan-lahan.
Matanya ralit mengeja bait-bait kalam yang tertera,
sesekali disekanya air mata.
Bibirnya dikunyah, sesekali sedunya terdengar.

Usai dicampaknya warkah cinta berdarah itu ke lantai.
Lalu disembamkan wajahnya ke katil, meraung dan melayan rajuk di situ.
Habis sudah air mata, merah sudah muka, bengkak sudah mata, pedih mata, dia bangun.
Merenung ke silingmacam kanak-kanak bingung.
Melayan pusingan laju kipas, ralit.

Tangannya mencapai sekali lagi warkah itu.
Disorotnya bait-bait penuh kiasan disitu.

Assalamualaikum.
Adda, maafkan Afzal,
hubungan kita termaktub setakat ini saja.

Moga ada jodoh, kita bertemu lagi, dalam keaddan yang serba baik.
InsyaAllah
Mudah-mudahan...
Maafkan Afzal, ini yang terbaik, untuk Adda, untuk saya juga.

Moga dengan berakhirnya hubungan setakat ini, kita ada lebih banyak masa.
masa yang kita patut gunakan mencari status diri di sisi Ilahi,
daripada kita habiskan dengan perkara yang tak membawa kita mendekatiNya,
Maafkan saya sekali lagi, terima kasih atas segalanya.
Sesungguhnya awak pernah menjadi sebahagian diri saya,
kini saya pulangkan awak, pada yang lebih berhak.

_Afzal Asyraf_

Mawaddah meraung, dia bingkas bangun ke laci meja sebelah katil.
Ditariknya laju.

Ada.

Direntapnya bungkusan putih itu. direnungnya.

Makan, Adda, Makan! this will make you feel better! Makan, makan!

Dia menarik nafas, dituangkan isi ke atas tangan, di bawa ke mulut.

Done! Good!

Dibawanya badan ke katil. Baring. Matanya yang sembab ralit meneliti pusingan kipas. Dia tersenyum.

Tata world!





Monday, February 15, 2010

I.Anak Kecil

"Cikgu, kalau saya solat 5 waktu, mengaji hari-hari, buat baik selalu, Allah tetap tak kan kembalikan mak saya kan?"

Soalan Iman membuatkan aku terdiam. Aku renung dalam anak matanya yang kudus. Cuba mencari pengertian dari anak mata itu.

Berkaca, telus dan ikhlas. Iman menanti jawapanku dengan mata penuh pengharapan.

Lalu aku tarik nafas panjang.

"Sesiapa yang Allah dah jemput kembali, tak kan dipulangkan.." Aku cuba mencari kata-kata yang sesuai, berhikmah untuk anak sekecil Iman.



Matanya lebih berkaca. lalu dia tunduk.

"Iman rindukan mak."

Aku menahan sebak di dada, lalu ku usap kepala anak kecil itu. Menarik wajahnya setentang denganku.

"Iman kan ada ayah, ada opah, ada cikgu? Iman ada kawan-kawan.." Iman melihat aku kosong. Kata-kata itu tak membawa sebarang erti baginya.

"Iman ada Allah, kan?" nyata kata-kata itu berjaya menarik perhatiannya.

"Allah jahat! Dia ambil mak!" Jerit Iman kuat, mengejutkan aku.





Dia menarik begnya kasar, menuruni tangga dan jalan lekas pulang. Tangannya laju mengesat air mata.

Di anak tangga, aku tergamam. Dalam simpati, kasihan dan belas aku terasa diri ini gagal.
Gagal menerangkan Iman fitrah hidup ini.

"Ah anak itu masih muda. Terlalu kecil untuk memahami semuanya. Tapi adakah ianya mustahil kalau diterangkan sebetulnya?"


Friday, December 11, 2009

Aku.. Dia.. & Kamera

ini adalah entry yang dihasilkan untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh encik dawie. sesapa yang berminat boleh klik di sini. Pertandingan dia mudah sangat, kena tulis apa2 cerita dongeng mahupun betul-betul tipu dan submit.. dek kerana mood saya tengah g-wang dan baru habis exam saya rasa nak joinlah pulak. BTW ini adalah kali pertama saya join blog kontest.

MEMPERSEMBAHKAN KARYA SYOK SENDIRI OLEH CIKNADZ..




"Dawie, gambar perempuan mana kau tangkap ni?" Rock membulatkan biji mata. Tanda tak percaya bila melihat gambar yang berada di tangannya.

"Gambar mana Rock? Mana ada aku ambik gambar perempuan. Mengarutlah. Ingat aku macam kau?" Dawie membalas. Malas mahu melayan Rock yang selalu sangat hiperbola. Over.

"Ni lah, takkan pondan kot pandaiii" Rock tak puas hati, digoyang-goyang foto di tangannya itu. Tanda serius. Dawie mengerutkan dahi.

"Ko sure ke perempuan? Bukan hantu, bukan bunian., bukan pontianak?" tergelak Dawie.

Aku lebih selesa mengambil foto alam ciptaan Allah. Bukan wanita. Bagi aku wanita bukan untuk diekspoitasi. Keindahan wanita patut diabadikan untuk tatapan yang tersayang, yang berhak.
Kalau takat suka-suka nak kandid gambar awek cun, buat koleksi, upload dalam blog dan hebahkan, itu adalah eksploitasi, mencuri.

Tersirap darah aku bila melihat ada seorang wanita, sedang tersenyum manis di dalam gambar yang dihulurkan Rock.
"Kan aku cakap betul? Apa ni Dawie? Hantu Bunian ke? Nak kata pontianak, cun ja aku tengok." Aku membiarkan soalan Rock tak berjawab. Sumpah, aku sendiri tak tahu.


***********************************


Minggu lepas ibu telefon.
Katanya mereka sudah ada calon isteri buat aku. Aku terdiam lama, dan sebelum memutuskan talian aku minta ibu bagi aku masa 3 hari untuk aku berfikir.

"Aku? Kahwin? Layak ke?
?"
Selama 3 hari, aku tak tahu apa yang patut aku fikirkan. Dari segi pendapatan, mini studio yang aku usahakan dengan Rock rasanya memadai. Tempahan dari orang nak kahwin dah lumayan. Walaupun dalam keadaan aku yang sedang sambung belajar, tu bukan alasan.

Lalu aku tanya ustaz. Kata Ustaz Hasrizal, buatlah solat istikharah, Allah yang mencipta maka Dia yang Maha Mengetahui.
Hari ketiga selepas ibu telefon, aku bangun pagi dengan keadaan sangat nyaman.
Dalam doaku selepas Subuh, aku dapat rasakan ketenangan.
Aku telefon ibu dan nyatakan persetujuan.
Dalam hati, aku serahkan 100% pada Ilahi.
Kamera di tepi, aku tenung dengan pandangan kosong.

************************************

Esoknya aku bergerak ke fakulti seperti biasa. Tersimpan dalam beg, aku cetak 1 salinan gambar wanita misteri itu, dan aku letakkan dalam sampul surat.
Hasrat hatiku kalau aku jumpa gerangan orangnya, aku pulangkan balik.
Walaupun indah, untuk aku simpan aku tetap tidak sedap hati. Bukan style aku, ini dah menyalahi prinsip yang aku pegang selama ni.

Jenuh mata aku mencari orangnya, sampaikan kuliah pun aku dengar macam orang mabuk saja. Rock dah ketawa-ketawa. Sibuk menggiat aku.

"Dawie dah kena sampuk puteri bunian." Ah, sukalah kau kan Rock?

Dalam hati aku mengakui, aku tertarik dengan 'dia '. Selepas kecewa dengan cinta pertama, aku merasakan tiada lagi istilah Couple buat aku.
Semuanya aku serahkan pada Allah, dan hati ini, aku simpankan khusus pada wanita yang bakal bergelar isteri.
Teringat aku pada 1 lagi wanita misteri, yakni bakal isteri aku.

Dalam hati terdetik bagaimana jika aku jatuh cinta pada 'dia' di dalam gambar?
Lalu aku istighfar, dan aku panjatkan doa pada Ilahi agar pelihara diri ini dari ragu-ragu.

Mujur, hari itu, dia tidak aku jumpa. Dan juga hari-hari seterusnya. Gambar tidak jugak aku keluarkan dari beg. Dengan harapan kalau terjumpa, aku akan serahkan terus pada 'dia'.

Harapan aku menggunung, demi Allah.
Masa terus berlalu, dan takdir belum memihak pada aku.
Kamera di sisi aku tenung dalam sayu.

*********************************
Semalam bermula cuti semester.
Berkali-kali ibu ingatkan, yang hari ini merupakan hari pertemuan aku dan tunang buat kali pertama.
Kami sekeluarga akan makan malam bersama, Kata ibu, anak kenalan lama ayah.

'Lantaklah ibu, Dawie dah berserah. Dalam hati, nervous tak ingat.'

Aku tak berani nak minta gambar tunangku dari ibu. Takut nanti diejek adik bongsuku, Alang yang nakal. Nanti satu rumah asyik menyakat.
Ibu pulak tak jugak menawarkan peluang, agaknya ibu lupa. Atau mungkin ibu sengaja. Nombor telefon pun ibu tak tawarkan.

Setibanya di rumah tunang yang tak pernah aku kenal, Alang sibuk offer diri nak tangkap gambar.
Along dan Kaklong tersenyum-senyum. Berkali Along tepuk bahu, mengingatkan aku agar kontrol imej menantu baik.

Hantu sungguh Along
!

Malas nak melayan karenahnya, aku suruh Alang ambil kamera dari beg. Aku melangkah ke dalam rumah bersama ayah.

**************************************************

Dari dapur, aku dengar hingar bingar suara ibu, bakal ibu mentua, Kak Long, Alang dan dua tiga suara lain yang tak aku kenal.
Mengikutkan kemesraan ayah dan ibu dengan keluarga tunangku, aku agak memang mereka kenalan rapat. Mungkin aku saja yang tak tahu.

Bila terasa nama disebut-sebut terasa nak saja menoleh tapi mengingatkan takut dikata orang nak mengintai tunang, aku tahankan saja.
Along sejak tadi, mungkin memahami, tersengih-sengih.

Aku terdengar suara Alang ketawa kuat, "Tak padan anak dara. Coverlah sikit Alang ni"
Tiba-tiba Alang datang. Ditariknya tangan aku.

"Big boss panggil!"

Aku dalam keadaan blur, menurut.

Dari tempat aku berjalan aku dapat tengok ada sampul di tangan ibu. Terus aku teringat gambar 'wanita misteri'. dalam hati aku tiba-tiba rasa kecut.

"alamak! Takkan Alang tunjuk kat ibu?" mata aku menghala ke arah Alang, Mahukan penjelasan, Alang buat muka tak faham.

Ayah dah panjangkan tengkuk menjengah ke dapur, Along dan Kak Long dah berbalas bahasa isyarat.

"Gambar siapa ni Dawie? Baik Dawie mengaku cepat?!" tanya ibu tegas. Ibu tunang aku di sebelah merenung aku mahukan penjelasan.

Aku tak buat salah, apa aku nak takut? Lalu aku lawan rasa yang tidak-tidak. Menjawab soalan ibu, secool yang boleh.

"Dawie tangkap gambar random ja ibu, entah kenapa terselit satu gambar perempuan Dawie tak kenal. Dawie bawak dalam beg tu, so bila Dawie jumpa Dawie nak pulangkan. Ada masalah ke, ibu?"

"so Dawie tak pernah jumpa la perempuan ni?" aku geleng cepat-cepat. terasa macam budak darjah dua kena tangkap curi gula-gula di koperasi pulak.

Alang gelak.

"Kak Sya keluar cepat!!" Lalu Alang tarik seorang perempuan yang dari tadi menyorok di belakang kabinet.

Guess what? Perempuan yang Alang tarik keluar, sebijik mukanya macam perempuan dalam gambar tu!

"Ha kenalkan tunang kamu, Siti Syahidah. Tak pernah jumpa, kan?" kata ibu dalam senyuman bermakna.

Aku melopong sebentar, mata aku tak lepas dari menatap muka si 'dia' LIVE depan mata aku.
'Dia' di hadapan mataku tersenyum malu.

Dalam hati aku takjub dengan kuasa Allah, menciptakan satu kebetulan, melibatkan AKU, DIA DAN KAMERA..


-THE END-


DIKARANG KHAS UNTUK KONTEZ OHDAWIE.COM

© lifegotstory, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena