Thursday, September 16, 2010

Cabaran Menjadi Pemimpin

Bukan mudah menjadi pemimpin. Yang manis ditelan mudah. Yang pahit, tawar dan pedas? Perlu ditelan juga. Tak perlu dilantik atau menang pilihanraya untuk jadi pemimpin.

“Tiap-tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungjawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak pula bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cabaran 1. Menjadi ‘Pemimpin’

Bahagian paling susah dalam bab kepimpinan ialah, menjadi pemimpin itu sendiri. Bila kita sudi menjadi pemimpin, maka kita sudi menerima tanggungjawab, dan di atas tanggungjawab itu kita akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.
Pemimpin perlu punya ciri-ciri pemimpin. Kalau tidak, contohnya seperti di bawah.

"Engkau rasa si Ahmad tu macam mana? Bukan main aku tengok dia bersyarah pasal cara nak menjaga anak. Anak dia bukankah mat rempit tersohor di daerah SunggangTawa ini?"

Isu paling glamour. Apakah rasanya bila dilabel ketam mengajar anak berjalan? Diingatkan tak semua berjalan menurut kehendak dan perancangan kita, sekeras mana kita mencuba, ketentuan tetap kepunyaan Allah. Jangan kita mudah menuding jari, bukan mudah menambat ular dengan benang. Tambahan manusia, sering berubah, dipengaruhi zaman, nafsu dan syaitan.

"Macam mana si Boestaman ni uruskan anak buahnya? Culang calik kerjanya aku tengok. Langsung tak teratur?"

Kadangkala kita dah cuba segalanya, kita tentukan tugas, kita cadangkan flow, tapi atas sebab tertentu masih tak lancar. Kemudian, kerja kita dikritik orang. Apakah rasanya? Jadi, pemimpin tak boleh cepat melatah. Satu 'kegagalan' dikaji selidik dan dicari jalan penyelesaiannya. 

"Menyampah aku nak dengar cakap si Leha tu. Berlagak sangat. Tahu tak dia tu sama level ja dengan kita, baru ada pangkat ketua...."

Masalah anak buah 'kurang' taat? Tambahan pula bekerja dengan rakan sendiri. Mengarah terasa salah, memujuk terasa alah. Mesti ada cacat cela di mana-mana. Gaya bahasa kita? Terlalu mengarah? Terlalu menggesa?  Kadang-kadang tak perlu ada sebab, mungkin personaliti orang yang suka mencari khilaf, apa kita nak buat? Konfrontasi? Apa matlamatnya?

Definisi Pemimpin

Pemimpin yang baik itu, 
rendah pada hatinya, 
tapi tidaklah rendah sampaikan suaranya tidak didengar, 
perlu lantang berkata-kata, 
tapi tidaklah sampai membingitkan telinga, 
budinya halus, 
kerjanya telus, 
satu dia minta, 
sepuluh dia usaha. 
Dia tidak meminta penghormatan, 
tapi dia memilikinya, 
dia tidak jemu mendengar, 
tidak tuli selepasnya. 
ilmunya membukit, 
egonya cangkat, 
bila disuluh hatinya jernih dasarnya, 
bila disuluh keazamannya gelap pekat tak tembus cahaya. 

Dia cintakan apa yang dipimpinnya, 
dia sedar apa di awal dan di hujungnya,
dia sedar akan risiko dan tidak tunduk padanya, 
tidak dia melatah bila disergah, 
tidak pula berdiam bila diagah
Dia takutkan PenciptaNya
dan setiap apa yang dibuat tidaklah dia berpaling dariNya

Bayangkan, bagaimana anda hendak memandu kereta ke suatu tempat, jika anda tak tahu caranya, ke mana hendak pergi, apa jalannya, apa rintangannya?



#ditulis atas percubaan kemudian terus malas, kerana beratnya topik.
Maafkan saya teman, saya tidak boleh menulis sebegini, saya bukan 'ahli'
Cabaran 2? bersambung. Heehee ^_^





0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana tinggalkan komen!

© lifegotstory, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena