Dan hari ini, mata saya tertancap pada seorang pakcik tua. Saya namakan dia pakcik Ahmad. Dia bangun duduk, dari baring apabila dia nampak saya. Selalu kalau begitu tandanya positif. Pesakit sudi untuk menjawab soalan yang selambak banyaknya..
Saya ke katilnya, cuba beramah mesra terlebih dahulu. Kaki kanannya bengkak, merah. 3 jari kakinya tiada, sekitar tapak kaki dia warna kehitam-hitaman. Saya lihat, ada bekas Central Venous Line di kedua belah tengkuknya. Ada pulak label "do not perform procedure at this hand." Itu tandanya tangan itu ada arteriovenous fistula(AVF). Prosedur yang dijalankan untuk orang yang ada kegagalan fungsi buah pinggang.
Saya agak, dia ada kencing manis yang teruk.
Balik pada niat menulis, saya hampiri dia. Terperasan pula, ada sisa air mata di pipinya.
"Pakcik, pakcik menangis ke?" Ish waktu ni terasa tak sensitif sungguh. Boleh pulak saya tanya soalan macam tu. Reaksi biasa, lepas ditanya, orang akan makin sebek kata orang kedah. Air matanya bertakung lagi, dia usap air matanya.
"Tak apalah pakcik. Nangis tu biasalah. Nangislah, kalau itu buatkan pakcik lega." Tabiat saya dalam memujuk orang menangis. Menangislah, saya akan galakkan lagi.
"Pakcik nak kongsi dengan saya ke?" Dia tarik nafas panjang. Agak lama sebelum dia menjawab soalan saya.
"Kat kampung pakcik, umor dah 80 tahun, masih menunggang motosikal. Prenggg sana, prenggg sini. Pakcik tak sampai 70 dah terlantar begini. Orang dialysis tu kata, pakcik ni macam dah rosak. Kalau tak cuci, kotor tak keluar, terus tak ada guna."
Saya faham, dia membandingkan diri dia dan orang lain. Betapa orang lain masih sihat, dan dia sudah terlantar dengan macam-macam sakit. Mungkin juga dia ralat dengan kata-kata yang dia dengar di tempat dialisis tadi. Keadaan wad yang bising, menyukarkan saya mendengar.
Selalunya pesakit memang akan ada sedikit tekanan, dek pengambilan ubat yang banyak, dek kesakitan, dek layanan anak isteri dan sebagainya.
Teringin saya mengingatkan dia,
Kesakitan ni satu anugerah, penghapus dosa pada orang-orang yang meredhainya.
Kesakitan ini satu ujian kesabaran, yang menyuburkan rasa kehambaan kita pada Allah.
Kesakitan dan musibah adalah satu peluang untuk kita refleks kembali diri kita, sejauh mana hubungan kita dengan Allah.
Musibah adalah rahmat, untuk orang-orang yang bergantung harap padaNya.
“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.”
(HR. Bukhari-Muslim)
Sewaktu Rasulullah menjenguk Salman al-Farsi yang sakit, baginda bersabda:
“Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.””
Mata yang memandang tidak terasa, bahu yang memikul dihimpit bebannya
Mas Afzal, semoga Allah menyembuhkanmu.. |
Saya petik satu perenggan dari blognya,
It's ok to cry. Natural it is for a human being to feel sorrow over times of hardship. The heart doesn't have to be dead or numb. The act of crying does not necessarily denotes that one has not got the strength of patience and fortitude. Our beloved Prophet cried over the death of his son, Ibrahim, yet he is the epitome of strength in the face of trials and tribulations
Dan yang terbaru, saudara Iqbal Syarie yang dimasukkan ke ward Hospital Sungai Buloh kerana demam denggi. Baca nota 'Seinci Dari Maut' , saudara Iqbal telah siapkan note refleksi untuk kita. Saya salahkan Google Reader, sebab lambat tahu hal ini.
Ingatlah bilamasa kita mengongoi manja bila demam, bila kita senggugut, bila kita hidung tersumbat bila selesema. Kita ada merungut, ada mengadu. Samalah juga, pesakit juga perlu diberi peluang untuk mengadu. Sebagai pendamping, sebagai seorang pemerhati, sebagai seorang yang prihatin, ia peluang kita untuk saling memperingati.
Carilah masa yang sesuai. Paling kurang, peringatkanlah diri sendiri.
tambahan - setelah artikel ni ditulis, saudara mas afzal pergi menghadap Ilahi pada 18 Disember 2010. Semoga Allah menetapkan yang terbaik untuk beliau.
Sedikit nota refleksi untuk diri, dalam kesakitan, dalam ketakutan akan mati, mudah kita teringatkan dosa silam dan mengongoi kembali meminta ampunanNya, dalam masa kita gembira adakah sama?
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana tinggalkan komen!