Tuesday, October 26, 2010

Itu Mak Ayah Kamu.

Seorang pak cik tua umurnya 74 tahun, bertongkat, masuk ke klinik dipimpin isterinya.
Juga seorang tua, 60-70 tahun juga lagaknya.
Di pinggang isteri, terikat 1 beg kecik, beg apek cina di pasar malam.
Di dalamnya tersimpan buku nota-nota sakit si suami.

ehsan google

Mukanya si suami, berkerut, entah dek kerana kerisauan, atau kena umurnya yang senja.
"Dia tak dengar doktor. Cakap dengan saya." Si isteri berkata. Mukanya juga terserlah kerisauan.
"Dia sakit perut.. Sudah dua bulan. Beraknya susah. Sekali makan ubat, sekali berak. Ada masa sakit.. Tak boleh tidur." Si isteri bercerita.

Teringat saya pada atuk dan nenek di kampung, Umurnya sebaya mereka mungkin. Bila nenek sakit, muka atuk tak senang duduk. Bila atuk sakit, nenek pula panas punggung. Terasa sejuk hati, melihatkan 'cinta' mereka.

Setelah seberapa ketika, si isteri keluar. Nak panggil anaknya. Mungkin rasanya lebih mudah jika doktor soal jawab dengan si anak.
Si anak pun masuk. Lagak selamba, kaca mata hitam di kepala, berseluar pendek, segak santai gayanya.
Muda. Mungkin belum pun cecah 30-an.

Dan si anak pun melabuhkan punggung di kerusi. Menyilangkan kaki. Dengan mata masih menghadap surat khabar,
Mukanya merah, entah kerana sakit kepala, atau protes tindakan ibunya menyuruh di ikut sama masuk.
Sesekali di pegangnya ubun-ubun, seolah-olah dia tak mahu berada disitu. Dengan muka masam berkerut.

Si ibu? Dibiarkan berdiri disebelahnya.
Selama lebih kurang 30 minit, dibiarkan ibu yang tua, berdiri sedangkan dia yang sihat, duduk santai.
Langsung tak ambil peduli akan apa yang terjadi.

Bila si pakcik tua hendak ke tandas.
Dia masih di kerusi. Lekat disitu.Tidak endah.
Namun mukanya tunduk, memperlihatkan yang dia tahu, tapi tidak mahu.
Langsung dia tidak endah akan bapak yang sakit,
jalan bertongkat, berpimpin.
Masih si ibu juga yang pergi menemani.

Aduhai pemuda?
Siapa kamu?

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah". (Al-Ahqaaf ayat 15)

"Bila masa nak buat scan tu?" Katanya keras, sambil buat muka 'saya sibuk sangat'.
"Kalau tak buat scan, dengan scope tu, tak boleh nak buat diagnosis ke?"

Halo abang, ini hospital kerajaan. Berapa sen sangatlah kerajaan nak ambil, dari segala scan-scan itu?
Selalunya anak mahukan terbaik untuk ibu dan ayah. ini macam terbalik.

Bukan saya untuk menilai apa yang terisrat dan tersurat, hanyalah Allah yang layak. Wallahualam.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Israa' ayat 23-24 tafsirnya :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana balas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil".

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana tinggalkan komen!

© lifegotstory, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena