"dan apabila tempoh mereka datang, mereka tidak akan mengundurkannya sesaat, dan tidak juga mendahulukannya." 16:61
Raya tahun ni, pasti tak sama dengan raya tahun-tahun sebelumnya.
Selalu rutin pagi raya saya dimulakan dirumah, solat raya di masjid jika tak uzur dan terus ke rumah tok belah abah yang selang beberapa biji rumah saja dari masjid. Usai bersalaman, ada sesi tangkap gambar. Sekejap saja, keluarga kami tak berapa gemar bergambar, walau golongan muda beria-ia mengusung dslr ke sana ke mari. Layan tetamu, berkunjung ke saudara mara sekampung. Salam, makan, minta maaf. kalau dulu, kutip duit raya. Kalau sekarang, menjawab pertanyaan cepumas macam
"bila nak habis belajar?"
"nak jadi dokor di mana?"
"dah ada boyfriend?"
"'kawan' orang mana? doktor juga?"
dan lain-lain. Kemudian usai zohor, berangkat pula ke Felda Bukit Tembaga untuk beraya rumah sebelah mak. Sama juga, bersalaman, Ke dapur, makan. Aktiviti berziarah, kurang sebab saya kurang kenal orang kampung sini. Tunggu saudara mara bertandang sendiri. Malam, layan sepupu kecil-kecil main mercun Belah mak meriah, lebih 15 orang cucu kalau sekaligus balik. Tapi zaman berubah, kalau dulu kita main tanah dan lumpur, beraya seharian kumpul duit, mereka main PS dan laptop dalam rumah. T_T
Rasanya dah lebih 3 bulan tok kembali kepadaNya, kalau waktu arwah sihat, dia sibuk memasak untuk anak cucu. Favourite saya, gulai ikan temenung dengan roti arab, roti jala arwah. Kalut dia, nak jamu cucu dia makan. Kalau sembelih itik, ayam, dia paling bising suruh telefon anak-anak balik makan gulai.
Sebelum tok, adik arwah yang selalu balik beraya menetap di rumah tok pergi meninggalkan kami. Dalam kesibukan berulang alik ke hospital kerana tok yang uzur dengan sakit buah pinggang, dikejutkan arwah Tam chah masuk hospital, radang paru-paru. Tam chah selalu ligat di dapur goreng mee, kalau dia ke villa kami di Padang terap, saya tak payah susah melayan. Dia sendiri masak. Arwah selalu berhubung dengan mama, bercerita dan berkongsi. Arwah suka dan fancy dengan ubat supplement selalu berkongsi dengan kami khasiat dan kebaikan supplementnya. Suara kecoh riuhnya di dapur kini hanya tinggal memori.
8 Ogos, 19 Ramadan, Allah duga kami sekali lagi, Pak Ndak adik mama pula dijemput Ilahi sebab kemalangan.. Pak Ndak yang saya kenal, selalu tersengih, spontan kelakar orangnya. Selalu hari raya dia akan angkut anak-anaknya yang masih kecil dan ramai ke rumah tok. meriahlah sekejap. Dengar suara budak-budak bermain, bergaduh, bersembang entah apa topiknya. Kali ni, entah macam mana.
Moga Allah ampunkan dosa-dosa mereka, rahmati mereka, kasihani mereka dan moga Allah ampunkan dosa-dosa kami, rahmati kami dan kasihani kami, dan temukan kami dalam syurga abadi kelak.
Baginda Rasulullah kekasih Allah, sepanjang hidupnya orang-orang yang baginda sayang satu persatu pergi meninggalkanya. Subhanallah, apa junjungan kita kata?
“Mata ini boleh menangis, hati ini boleh berduka. Tapi kita tidak mengucapkan kecuali apa yang diredhai Allah” ucap baginda Rasulullah atas pemergian puteranya Ibrahim.
*Apa yang kita miliki, hanya sementara. Isi keluarga, ibu bapa, atuk nenek, nyawa kita sendiri, semua pinjaman dan nikmat dari Allah semata-mata. Nikmatnya entah per berapa dari nikmatNya yang banyak sangat. Kalau kita tak letakkan kasih sayang kita yang nombor 1 kepadaNya, Allah tarik nikmat yang kita sayang sangat tu, mahu kita jadi gila.
** Dan kau pula mahu jadi lemah kerana cinta manusia?